[masih mode serius. please bear with me]
Lawatan kerja PGSMNS diteruskan pada hari kedua. Hari kedua tiada lawatan rasmi diadakan maka, usai makan pagi, kami dibawa bersiar-siar sekitar Banda Aceh. Dimulakan dengan lawatan ke Taman Sari Gunongan dan Kandang atau lebih kerap dipanggil Taman Ghairah oleh rakyat Aceh. Dimaklumkan bahawa Taman ini adalah bukti hubungan rapat Indonesia-Malaysia yang mana Taman ini dibina oleh Sultan Aceh khas buat isterinya Puteri Pahang yang merindui kampung halamannya di Pahang. Reka bentuk binaan putih tersebut seakan-akan gunung-gunung yang terdapat di Negeri Pahang [kata merekalah] Dimaklumkan selanjutnya bahawa kawasan ini tidak terjejas dek Tsunami.
Sedikit pandangan tentang tempat ini, tempat ini punya potensi tinggi untuk menarik lebih ramai pelancong. Tapi sayang kawasannya tidak dibersihkan dan barangan yang terdapat dalam muzium tidak dijaga dengan rapi. Gambar-gambar tidak dipamerkan dengan elok. Hal-hal begini menyebabkan rasa kurang selesa. Alangkah baiknya sekiranya kawasan ini ditambah baik.
Selanjutnya kami dibawa ke rumah Cut Nyak Dhien [di sini, Cut tersebut merujuk kepada gelaran bangsawan wanita. Kalau lelaki dipanggil Teuku. Kalau Tengku merujuk kepada ustaz-ustaz dan alim ulama'] Beliau ini adalah serikandi pahlawan Aceh menentang Belanda. Dimaklumkan beliau menyambung perjuangan suaminya Teuku Umar yang meninggal dunia akibat ditembak Belanda.
Perjalanan diteruskan lagi dengan melawat Kubah Mesjid Jami' Lamteungoh. Kubah seberat 80 tan ini dibawa oleh ombak tsunami sejauh 2.5km, merentasi bukit dari tempat asalnya di kampung Lam Teugoh. Dikhabarkan bahawa kawasan ini terjejas teruk kerana air datang dari tiga kawasan dan bertemu di sini. Masjid kepada kubah tersebut telah hancur, namun kubahnya sahaja yang selamat lalu terdampar disini. Kawasan masjid tersebut tidak boleh dimasuki bas, kita perlu menyewa motosikal yang dibawa oleh wanita-wanita perkampungan tersebut. bayaran? seikhlas hati kita. tapi aku pasti, tidak akan dapat kita bagi wang sewaan yang rendah kerana hati pasti rasa sayu dengan kedhaifan hidup mereka. Penduduk kampung ini mencari rezeki dengan bertani dan wang tambahan diperoleh dengan menjual cenderamata yang dijual oleh anak-anak kecil di sini [hati kena kuat untuk tolak jualan mereka. kalau tidak mahu beli, jangan pandang mata mereka. takut menangis nanti] Disaat orang lain sibuk membeli-belah, aku dan Kak Zuraidah, Pegawai Sulh Mahkamah Syariah Kuala Pilah sempat dibawa melihat sebuah kubur alim ulama' yang tidak terjejas akibat Tsunami. Kawasannya agak semak, tapi masih boleh dilihat dari jauh.
kawasan kubah bukan dalam air, cuma lopak air agak dalam sebab hujan tidak henti-henti turun untuk 4 hari tersebut.
Kemudian sepertimana yang dinanti-nantikan oleh ahli rombongan wanita, kami dibawa ke Pasar Aceh untuk membeli-belah. Barangannya tidak lah semurah mana cuma harga telekung dimaklumkan jauh lebih murah dari harga di Malaysia. [syuhada being syuhada, aku amik masa dalam 30 minit je kot. dapatlah dua jubah. pertamanya mmg tak suka shopping. kedua, bajet mmg fokus utk ke jepun. heh] harga barangan lebih murah di kedai-kedai depan hotel kami
Highlight kepada hari kedua ini adalah lawatan ke Maahad Tarbiyyah Islamiyah Dayah Al-Furqan Serambi Malaysia. Kenapa ada nama Malaysia? Sebab sumbangan untuk membangunkan tempat ini banyak datang dari orang kita.
sebaik sahaja kami tiba, kami disambut oleh anak-anak yang beratur dengan senyuman. Hati sekali lagi tersentuh kerana waktu itu hujan masih belum berhenti, namun mereka nampak cukup gembira menyambut kami. Kami kemudiannya dijamu dengan makanan seperti nasi dan mee. Allah, sekali lagi hati terasa sayu. bayangkan keadaan mereka yang dhaif dan sangat sederhana, namun masih lagi sanggup menjamu kami dengan baik sekali. Rasanya orang-orang yang mengenali aku tahu bahawa aku sangat memilih makanan, tapi waktu itu aku telan kesemuanya sebagai menghargai budi bahasa mereka.
Setelah solat maghrib, Ustaz Bakri dengan baik hati telah memberikan tazkirah maghrib yang menyebabkan air mata aku gugur dalam senyap-senyap. Tazkirahnya betul-betul seperti teguran Tuhan untuk aku. Fadhilatnya melayani tetamu, kepentingan bersyukur sehinggalah kepada hikayat #sabardansyukur yang mencuit hati. kesemuanya akan aku ingat sampai bila-bila. Semasa tazkirah, sekali lagi kami dijamu dengan kopi panas. Allah, malunya aku dengan budi bahasa mereka. sangat memuliakan tetamu walau dalam keadaan sebegitu.
[detail sungguh travel note kali ini kan? thats how much aceh affects me]
hari kedua tamat dengan lawatan ke rumah tersebut. pulang ke hotel untuk sambungan di hari ketiga. jumpa lagi di bahagian ketiga. insyaAllah.
No comments:
Post a Comment
senyum <3