Sunday, October 23, 2016

Aceh- Tarbiah Dari Tuhan (Part I)

[harap maklum bahawa travel note kali ini bersifat lebih serius]

Berita tentang lawatan kerja Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan (PGSMNS) ke Aceh, Indonesia aku terima selepas aku book tempat untuk ke Jepun. Atas kekangan kewangan, aku rasa aku memang tidak dapat untuk mengikut rombongan ini. Rasa cukup kecewa kerana bila melihat kepada tentatif semuanya cukup menarik perhatian. Tapi mungkin telah menjadi aturan Tuhan bahawa aku akan dapat menjejak kaki ke bumi penuh rahmat tersebut, maka Tuhan bukakan jalan. Alhamdulillah, aku berjaya mendapat tempat bagi mengikuti lawatan kerja tersebut [apsl ayat aku macam tulis hujahan ni? oh. serious mode. lupa ]  

sebelum ke Aceh, aku ada menbuat beberapa bacaan di Internet berkenaan pentadbiran negara tersebut, perlaksanaan hukum syariah dan serba sedikit sejarah Aceh. Selain itu aku juga melihat kembali video-video famous tentang tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 dulu. hati sudah sedikit gentar. Rasa macam mahu batalkan penyertaan. Iman senipis tisu, itulah jadinya. Tapi bila difikirkan ajal maut boleh jemput kita bila-bila masa, tawakal saja pada Tuhan.


Tiba 17 Oktober 2016, pukul 4.30 pagi kesemua 34 orang peserta yang mengikuti lawatan kerja ini berkumpul di KLIA2. Usai makan pagi dan solat subuh, kami bergerak ke gate P3 untuk penerbangan jam 7.45 pagi. Kesemuanya nampak sedikit letih namun ceria.



Kurang lebih jam 8.30 pagi waktu Aceh [Aceh lewat satu jam dari Malaysia] Alhamdulillah kami selamat tiba. Hujan rahmat turun dan sebaik sahaja menjejakkan kaki ke bumi Aceh, ada satu perasaan tenang yang tidak dapat diterangkan. Sepanjang perjalanan di dalam bas aku dapati Aceh tidaklah secantik, semaju atau sebersih negara-negara lain yang pernah aku pergi, tapi tak tahu dari mana perasaan nya sangat mendamaikan. Kiri kanan banyak bangunan yang tidak selesai dibangunkan. kebanyakkan nya sudah siap 80% namun terbengkalai di tengah jalan. mungkin tidak cukup dana. Pemandu pelancong kami, Pak Zulkifli kerap kali menyatakan yang Aceh sudah makin maju, namun pada aku- jika ini yang dikatakan maju, aku tak dapat bayangkan bagaimana dhaif nya Aceh sebelum Tsunami dulu.

Benar kata rakyat Aceh- Tsunami itu satu rahmat.

Kami dibawa untuk sarapan terlebih dahulu. lontong sayur yang dihidangkan sangat sedap. kuahnya agak cair tapi sedap. makanan unik lain yang aku jumpa namanya pisang coklat. pisang dibalut dengan tepung seakan-akan lempeng kemudian digoreng. rasanya seperti pisang salai. yang paling aku suka jika berjalan sekitar asean, makanannya masih boleh ditelan dek tekak. sedikit sama dengan makanan malaysia. oh, terima kasih diucapkan pada yang membelanja kesemua peserta sarapan pagi itu. semoga Tuhan melimpahkan lagi rezeki, InsyaAllah.



Dalam perjalanan kami sempat singgah di perkuburan Massal, jalan Bandara International Sultan Iskandar Muda [maklumat ini perlu kerana aku dimaklumkan ada beberapa lagi perkuburan seperti ini di serata Aceh] di kawasan ini dimakamkan seramai 46,718 orang korban Tsunami. Terbayang-bayang berita yang pernah aku tonton dahulu yang mana mayat-mayat terpaksa ditanam menggunakan jentolak kerana terlalu ramai mangsa waktu itu. Allah. semoga kesemua mereka diberikan pengampunan oleh Allah dan roh mereka ditempatkan dikalangan para Syuhada', insyaAllah


Tempat pertama yang kami lawati adalah Muzium Tsunami, tempat yang mana memang menceritakan secara lengkap keadaan Aceh waktu dilanda musibah yang sangat dasyat itu. Paling menarik perhatian, Ruang Sumur Do'a yang meletakkan nama-nama korban Tsunami dipasangkan ayat-ayat suci Al-Quran. Bilik yang suram dan sayu membuatkan hati benar-benar hiba dan takut. Ada satu lorong yang dibina seolah-olah menggambarkan suasana Tsunami 12 tahun yang lalu. di dindingnya ada air dan lorongnya gelap. Takut, cukup takut. Kami dibawa menonton video yang menceritakan keadaan Aceh semasa dan selepas Tsunami. Menitis juga air mata. Cuma ada satu part tentang gajah dipaksa untuk menarik runtuhan bangunan sedikit mengganggu perasaan. Kasihan.






Setelah itu, kami dibawa untuk makan tengahari dan kemudiannya ke Hotel Medan, tempat kami menginap untuk 4 hari 3 malam ini. Hotel ini sangat kerap didatangi rakyat Malaysia sehinggakan plug nya sama seperti di Malaysia. Jadi yang datang ke Hotel Medan tidak perlu risau untuk membawa travel adapter. Cuma, satu bilik hanya ada satu plug yang sebegitu. Selesai solat jama' Zohor dan Asar, kami meneruskan perjalanan ke Kantor Wali Kota Banda Aceh.

Ada berlaku sedikit masalah dalaman yang mana surat kami tentang lawatan tersebut tidak diketahui oleh Wali Kota dan pegawai-pegawainya, sehingga Wali Kota yang sepatutnya ada, berada di Jakarta waktu itu. Saat ini aku terkesima dengan cara mereka menangani masalah tersebut. Pegawai-pegawai yang berkaitan dengan undang-undang Syariah Aceh telah hadir secara impromptu untuk menyambut kehadiran kami dan menjalankan sesi dialog bersama.



Dialog tersebut sangat menarik yang mana kami diberikan penerangan yang jelas dan terperinci dengan perlaksanaan undang-undang syarie di sana. Aku juga sempat menanyakan satu soalan tentang bagaimana Aceh menghadapi tekanan-tekanan dari serata dunia tentang isu hak asasi manusia dan undang-undang Syarie. Jawapan yang diberikan sangat bagus dan membuatkan aku faham lebih lagi tentang selok belok pentadbiran Aceh di sini.


setelah selesai, kami dibawa untuk makan malam dan akhirnya pulang ke Hotel untuk berehat. Kawasan hotel berdekatan dengan kedai-kedai menjual barangan cenderamata dan kedai-kedai makan, jadi ramai yang mengambil kesempatan untuk menikmati suasana malam sekitar aceh.

Rasanya sampai sini dulu untuk bahagian pertama. jumpa lagi nanti. insyaAllah.

No comments:

Post a Comment

senyum <3