[Hopefully ini last part utk trip Aceh. Kena update cecepat takut feel hilang]
Hari ketiga adalah hari lawatan rasmi. Dimulakan dengan lawatan ke Mahkamah Syar'iyah Banda Aceh yang mana kami disambut oleh Ketua Hakim, Hakim-Hakim, Pendaftar Mahkamah dan sebagainya. Dialog banyak tertumpu kepada sistem kehakiman yang mana kami diterangkan tentang bagaimana sistem kehakiman Syar'iyah dijalankan di Aceh. Aceh ini istimewa kerana Aceh adalah satu-satunya wilayah yang mempunyai Mahkamah Syar'iyah yang mana di kawasan Indonesia yang lain, ianya dipanggil Pengadilan Agama. [mohon betulkan kalau saya tersilap fahaman]
[di Indonesia Peguam itu dipanggil Pengacara. Pendakwa di panggil Jaksa. Manakala semasa perbicaraan ada tiga hakim yang mendengar sesuatu kes. Siap ada pendaftar duduk sekali. boleh ketaq lutut]
Deligasi kami juga ada menerangkan tentang profession guaman syarie di Malaysia khususnya Negeri Sembilan dan wakil dari pihak Mahkamah juga turut memberikan penerangan tentang sistem kehakiman syarie di Negeri Sembilan. Ada satu soalan yang sempat aku ajukan kepada seorang Hakim wanita yang namanya tidak berkesempatan untuk aku tanyakan. Soalan aku, apakah dengan perlaksanaan hukuman syarie di Aceh ini berjaya mengawal bilangan kes jenayah syariah di Aceh. Jawapannya tidak. hal ini disebabkan oleh pertambahan orang yang berhijrah ke Aceh. Soalan yang sama aku ajukan kepada seorang pendaftar Mahkamah. Jawabnya, ia terpulang kepada bagaimana orang awam yang melihat kepada perlaksanaan hukuman itu. Sekiranya dia melihat dan mengambil pengajaran, maka insyaAllah perlaksanaan hukuman ini akan memberi impak yang berkesan kepada iman dan sahsiah diri. [jawapanya sedikit aku olah. kan dah kata dalam mode serius]
Sebelum membuat lawatan ke Universiti, kami singgah untuk solat Zohor di landmark terpenting Aceh, Masjid Raya Baiturrahman. Masjid ini sangat mendamaikan. Sejuk. Waktu kedtangan kami, masjid ini dalam proses renovasi yang mana di luarnya sedang dalam proses untuk dipasangkan payung besar sama seperti di Madinah. Sebelum masuk ke dalam ruang solat, ada aliran air untuk membersihkan kaki.
Allahuakbar.
Aku tak akan boleh lupa perasaannya sewaktu mengangkat takbir semasa solat zohor berjemaah. Rasa lemah longlai seluruh badan, kelu lidah, menggeletar rasa sebab di Masjid inilah Allah tunjukkan kuasaNya. Air mata tak putus-putus. Kesedaran bahawa diri ini sangat kerdil di hadapan Tuhan datang bertubi-tubi.Rasa tidak mahu pulang, tapi apakan daya, jadual lawatan agak padat
usai solat jama' kami dibawa ke Universitas Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh. Perjumpaan sepatutnya dengan Rektor, namun kerana urusan yang tidak dapat dielakkan, kami berdialog dengan pensyarah di sana yang mana mereka menerangkan secara lebih khusus proses untuk melaksanakan hukuman syarie di Aceh. Sayang, masa terlalu suntuk jadi dialog tidak dapat dilakukan dengan lebih lama.
Setelah selesai, kami sempat singgah ke satu lagi peninggalan Tsunami, Bot atas rumah. Kami diterangkan tentang suasana Tsunami ketika itu, namun aku sempat mendengar terus dari salah seorang mangsa yang berjaya diselamatkan dengan menaiki bos tersebut.
[tahukah anda, selepas air reda rupanya ada seekor buaya di bawah boat tersebut?]
lawatan hari ketiga tamat lebih awal. Pada sebelah malam, kami mengambil kesempatan untuk membeli belah kerana esoknya adalah penerbangan pulang kami ke Malaysia.
Esoknya, setelah check-out hotel, kami dibawa ke kapal PLTD (Pembangkit Listrik Tenaga Diesel) Apung di Desa Punge, Blancut, Banda Aceh. Kapal ini dikhabarkan adalah untuk menjana tenaga elektrik yang kemudiannya disalurkan di kawasan-kawasan lain di Indonesia seperti Bali, Medan dan sebagainya. Pada tahun 2003, kapal ini tiba di Aceh iaitu setahun sebelum Tsunami melanda. Kapal ini seberat 2600 tan dan dibawa oleh ombak tsunami sejauh 5 kilometer dari kawasan pelabuhan asalnya. Harap maklum bahawa kapal ini tidak terus terdampar di kawasan tersebut tapi dibawa oleh ombak tsunami yang mengakibatkan banyak bangunan dan rumah hancur dek terlanggar kapal ini. di bawah tempat kapal ini tersadai, ada dua buah rumah dibawahnya.
didirikan sebuah monumen bagi memperingati detik saatnya Tsunami menghentam Aceh.
Flight pulang adalah pada pukul 2.30 petang waktu Aceh. Airport nya agak kecil jadi urusan untuk check-in agak lama memandangkan kami ramai. Kepada backpakers, sila maklum bahawa di lapangan terbang ini, mereka agak strict tentang bilangan beg. Kalau tidak ada check-in luggage, sila pastikan anda hanya bawa dua beg sahaja sebagai hand luggage. Selepas check-in, ada surau disediakan untuk kemudahan solat. Jadi lebih baik solat jama' terlebih dahulu sebelum berlepas pulang. Alhamdulillah, kami selamat tiba di Malaysia jam 4.30 petang waktu Malaysia.
Aceh pada kesimpulannya di mata aku, bukanlah satu tempat yang sesuai untuk honeymoon dan sebagainya sebab, walaupun pantainya cantik, tapi ombaknya agak kuat [mungkin kerana ketika aku datang, ianya musim hujan] Aceh banyak mengajar aku tantang erti bersyukur dan selepas pulang dari Aceh, aku berazam untuk menghabiskan makanan, tidak mahu membazir lagi. Semoga berjaya. Aceh bagus untuk travel solo sebab orangnya ramah, selamat, dan maknannya juga boleh tahan rasanya. Aceh tempat yang sederhana, yang banyak memberikan tarbiah tentang hidup.
InsyaAllah, kalau ada rezeki lagi, mungkin akan tiba lagi aku ke sini.
No comments:
Post a Comment
senyum <3